Iklan 138: Bila Tiada Itu Yang Dicari
Subuh pagi jumaat. Saya bangun untuk menunaikan solat subuh.
Usai solat subuh. Saya duduk tersandar di bucu katil sambil memikirkan mengenai mimpi saya malam tadi. Mimpi saya mengenai seorang artis meninggal dunia pada usia 50 tahun. Percaya atau tidak, mimpi saya itu dalam Bahasa Inggeris bukan seperti kebiasaan, mimpi-mimpi saya semuanya dalam Bahasa Melayu. Pelik bin Ajaib. Puas saya mengingati siapakah nama artis yang meninggal dunia dalam mimpi saya itu, tapi gagal. Sungguh! Memang tidak boleh diingati langsung.
Saya masih bersandar pada bucu katil. Kemudian saya hidupkan tivi. Di kaca tivi, mereka mengatakan MJ meninggal dunia pada usia 50 tahun (yang kebetulan meninggal pada malam saya bermimpi). Apakah artis dalam mimpi saya itu adalah MJ? Ish! Kebetulankah? Abaikan.
Saya bermuhasabah. Apabila Allah telah berencana skrip tentang susun atur perjalanan seseorang hamba itu, bila sampai bahagian penamat sesebuah skrip itu, maka tamatlah juga tanpa ada penangguhan. MJ, tanpa kita sangka, tarikh luputnya pada usia 50 tahun, saya pula pada usia berapa agaknya tarikh luputnya?
Agak gementar juga, dalam keadaan saya yang alhamdulillah sehat bugar ini tiba-tiba tarikh luputnya tiba secara mengejut. Bersediakah saya nak mengadap Tuhan. Banyakkah amal saya untuk bekalan saya? Luluskah saya sepanjang menjadi khalifah di bumi ini?
Bila difikir-fikirkan balik, prestasi saya kurang baek sepanjang 26 tahun hidup di bumi Allah ni. Kalau dipanggil pulang, rasanya saya belum bersedia. Tapi. Errr mana boleh main tangguh-tangguh kalau dah dipanggil pulang. Kan?
.
Saya bukanlah peminat fanatik MJ. Tapi ada rasa sedih. Saya pun tidak tahu, saya sedih untuk apa.
Apa yang saya tahu, manusia ini tidak akan pernah menghargai apa yang mereka ada selagi mereka tidak kehilangan benda tersebut. Ketika peluang masih ada, kita selalu mengabaikannya, mengelakkan mahupun buat tak tahu. Tapi bila dah tak ada atau dah hilang, barulah kita menyesal dan tercari-cari benda tersebut. Kan?
Al-Fatihah buat MJ.
NotaBudakTakSekolah:
Saya suka tengok MJ menari. :)

